Friday, October 31, 2008

PROGRAM / AKTIVITI SELEPAS PMR

Saya sebagai Guru Kaunseling sekolah telah diberi tanggungjawab oleh pihak sekolah untuk menyelaras aktiviti/program pelajar-pelajar Tingkatan 3 setelah selesai peperiksaan PMR. Dalam kolum ini ingin saya memberi pendapat sedikit berkenaan dengan program /aktiviti selepas PMR ini.
1. Selepas habis peperiksaan PMR pelajar Tingkatan 3 masih ada 4 minggu / sebulan untuk bercuti akhir tahun. Masa yang terlalu lama untuk menjalankan dan merangka sesuatu aktiviti.
2. Guru-guru pula menganggap setelah habis peperiksaan, habislah tanggungjawab mereka kerana telah selesai sukatan pelajaran masing-masing dan pelajar telahpun menduduki peperiksaan. Guru-guru mengambil kesimpulan mudah dengan mengatakan mereka tidak tahu apa lagi yang hendak diajar. Tugas mereka hanya mengajar. Tanggungjawab seterusnya diserahkan kepada Guru Kaunseling untuk menguruskan aktiviti pelajar.
3. Bagi saya tanggungjawab ini amat berat kerana bagi sekolah-sekolah yang pelajar-pelajarnya pintar tidaklah sangat mendatangkan masalah kerana senang untuk menguruskan mereka. Bagaimana pula bagi pelajar-pelajar sekolah harian biasa yang bermasalah displin. Kesukaran untuk mengawal mereka ditambahkan pula untuk mengendalikan program dalam kelompok yang besar. Kadang-kadang boleh hilang nilai-nilai kesabaran dan lebih teruk lagi mengalami stress.
Justeru saya menyarankan supaya pihak-pihak yang terlibat khususnya di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya menyediakan kurikulum ataupun modul yang selengkapnya bagi menyeragamkan program / aktiviti bagi pelajar-pelajar yang telah selesai peperiksaan PMR ini supaya lebih tersusun seperti mana kurikulum yang disediakan kepada guru-guru matapelajaran untuk mengajar.

sekian, wassalam

Thursday, October 30, 2008

AUTOKRATIK vs DEMOKRASI

Dua corak pemerintahan dan gaya pengurusan yang berbeza yang banyak diamalkan oleh sesebuah negara atau dalam sesebuah organisasi.
Gaya pemerintahan dan corak pemerintahan autokratik banyak diperaktikkan dan diguna pakai pada masa dahulu. Dahulu kalau kita masih ingat sejarah, sistem pemerintahan ini banyak digunakan oleh pembesar-pembesar dan pentadbir-pentadbir negara yang bertujuan mendisplinkan rakyat dan mengekalkan kuasa pemerintahan. Akan tetapi pada masa kini sistem ini sudah kurang atau tidak diterimapakai oleh masyarakat sekarang kerana dunia sudah berubah. Rata-rata masyarakat sekarang ini sudah terpelajar dan berpendidikan tinggi. Akan tetapi kadangkala untuk mendisplinkan dan melicinkan sesuatu program yang dijalankan corak pemerintahan ini amat sesuai sekali digunapakai. Ini kerana apabila terlalu ramai orang yang berpendidikan tinggi lagi sukarlah untuk menjalankan sesuatu program. Mereka lebih gemar menggunakan kepandaian mereka untuk mengelakkan daripada melakukan sesuatu kerja daripada menyumbangkan idea mereka untuk menjalankan sesuatu kerja. Golongan ini lebih gemar bercakap dibelakang ataupun mengkritik diluar gelanggang. Dalam mesyuarat atau apabila mereka diberi tugasan mereka berpura-pura tidak tahu yang itu dan yang ini yang bertujuan mengelak daripada melakukan tugasan atau kerja. Dalam hal ini ketua atau orang yang diamanahkan mengepalai sesuatu organisasi haruslah mengunakan kuasa yang ada bagi mengawal golongan-golongan ini. Jesturu autokratik kadangkala dapat menyelesaikan sesuatu masalah dan sememangnya boleh mendisplinkan banyak orang berbanding demokrasi.
Sekian..Wassalam

Monday, October 27, 2008

PEJABAT POS

Saya ke Pejabat Pos pada 26.10.2008 iaitu sehari sebelum Perayaan Hari Deepavali yang lalu untuk membayar bil streemyx saya. Setelah saya masuk ke Pejabat Pos Baling seperti biasa saya mengambil nombor giliran.
Setelah lama saya berada di dalam pejabat pos tersebut kira-kira setengah jam saya dapati nombor giliran yang terpapar dihadapan terlalu lambat untuk bergerak dari satu nombor ke nombor seterusnya. Saya keluar sebentar untuk menghisap rokok. Apabila saya masuk balik di dapati nombor tersebut tidak bergerak pun. Rasanya lama sangat saya menunggu. Setelah seketika mujurlah seorang kenalan saya memberitahu saya bahawa nombor rosak, patutlah saya lihat ada beberapa orang sedang beratur di kaunter, lalu saya menghampiri ke kuanter dan bertanya kepada kerani di kaunter. Kerani tersebut memaklumkan bahawa wang habis. Jadi semua urusan yang menlibatkan keluar duit tidak dibenarkan sementara waktu. Patutla lama saya menunggu. Urusan yang memasukkan duit seperi bayar bil, deposit wang ke ASB dan lain-lain urusan melibatkan wang masuk sahaja dibenarkan.
Kesihan orang-orang yang menunggu, pihak pejabat pos tidak pula memaklumkan perkara tersebut. Setelah selesai urusan saya, saya pun keluar sambil-sambil memaklumkan kepada orang-orang yang berada di situ.
Apa yang hendak diperkatakan di sini adalah kejanggalan perkara seperti ini berlaku di Pejabat Pos. Mungkin ini adalah kesan ekonomi dunia yang mengakibatkan orang tiada duit, ataupun harga getah yang merudum mengakibatkan orang ramai mengeluarkan wang simpanan di pejabat pos. Inilah kesan yang berlaku kepada orang ramai khususnya orang kampung apabila politik negara tidak berada dalam keadaan yang stabil atau erti kata lain lemah.
Saya masih ingat dulu pejabat pos menjadi tumpuan ramai sehingga bagai nak pecah pejabat pos tersebut apabila orang ramai berpusu-pusu membuat tuntutan wang rebat tunai yang diberi kerajaan. Bukan itu sahaja orang ramai juga berpusu-pusu ke semua stesyen-stesyen minyak pada malam kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak 70 sen. Saya masih ingat lagi suasana orang ramai yang luar biasa di pekan-pekan Sungai Petani, Baling, dan boleh jadi seluruh negara untuk membeli kelengkapan hari raya kerana faktor gaji masuk lewat. Seminggu lagi nak raya. Selain itu orang ramai juga berpusu-pusu ke Stesyen-stesyen bas membeli tiket balik kampung untuk beraya. Saya masih ingat juga orang ramai berebut-rebut juga membeli beras dan bahan makanan lain yang mengalami krisis kekurangan.
Apa dah jadi dengan negaraku yang tercinta ini di mana suatu ketika dahulu rakyatnya hidup aman damai, bersatu-padu dan harmoni kini dah jadi kelam kabut....
Wassalam...

Saturday, October 25, 2008

ALASAN

Kerapkali kita sering memberi berbagai-bagai alasan sekiranya kita berada dalam keadaan terdesak atau untuk melepaskan diri kita daripada sesuatu kerja dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.
Alasan seperti tidak tahu yang itu dan ini sedangkan kita tahu perkara tersebut menunjukkan kita adalah seorang yang berbohong dan munafik. Ada pepatah mengatakan "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih", cukup tepat ditujukan kepada orang-orang yang sentiasa memberi alasan dalam mengelak diri daripada melakukan sesuatu kerja. Ingat pendapatan dan rezeki yang kita terima biarlah ada keberkatan.
Sebenarnya orang yang kerap dan sentiasa berdolak-dalik dengan memberi seribu alasan ini adalah orang yang tergolong dalam kalangan orang-orang yang bersifat NEGATIF dan GAGAL..
Wassalam....

Monday, October 20, 2008

PENGALAMAN BEKERJA AMAT BERHARGA

Pengalaman ditafsirkan sebagai pernah melakukan atau mencuba sesuatu perkara atau pekerjaan di mana kita melakukan dengan sendiri. Pengalaman ini amat berharga pada masa dan ketika yang suatu hari nanti amat berguna pada kita.
Mengambil kira pengalaman bekerja saya yang hampir 7 tahun, tidaklah begitu lama namun pengalaman bekerja sebagai Guru Kaunseling atau Kaunselor ini amat berguna kepada diri saya. Dalam bidang kerjaya saya, saya banyak mengurus program-program, melakukan hampir semua kerja yang bermula daripada peringkat bawah hinggalah ke peringkat atas. Daripada mengurus dan mengendalikan mesin hingga berkomunikasi dengan sesama manusia. Pada mulanya memanglah terasa sukar tapi lama kelamaan ia akan menjadi mudah asalkan niat kita dalam melakukan sesuatu kerja adalah baik dan ikhlas.
Saya amat menyeru kepada kawan-kawan yang bekerja dalam apa jua profesion supaya banyakkan mencuba melakukan semua perkara janganlah kita menjadi seseorang yang boleh dianggap mengelak daripada melakukan tugasan yang diberikan dengan pelbagai alasan. Kelak kita juga yang akan rugi. Ini kerana apabila suatu hari nanti kita dinaikan pangkat menjadi ketua atau pemimpin dalam sesebuah organisasi kita akan ditertawakan oleh orang bawahan kita kerana sukar untuk membuat keputusan ataupun dikenali sebagai "OTAK SEMINIT", yang membawa maksud sering membuat keputusan yang sentiasa berubah-ubah, tidak tetap pendirian. Orang bawahan kita sukar untuk melakukan sesuatu tugasan atau program. Semua ini adalah disebabkan kurangnya pengalaman dalam diri kita.
Dengan pengalamanlah seseorang itu akan sentiasa bertenang dalam menyelesaikan apa jua masalah yang timbul ditambah sedikit dengan faktor kepintaran dan kepimpinan seseorang. InsyaAllah orang-orang bawahan kita secara tidak langsung akan sentiasa menghormati kita sebagai ketua atau pemimpin.
Sekian, wassalam......

Wednesday, October 15, 2008

EKSPEDISI GUA TEMPURUNG

11 Oktober 2008, saya dan beberapa orang guru SMK. Teluk Kumbar II, Bayan Lepas Pulau Pinang telah membawa 34 orang pelajar SMK. Teluk Kumbar II dari kelas 2 Gemilang dan 2 Tabah ke Gua Tempurung, Gopeng Perak.
Kami bertolak dari SMK. Tk 2 pada jam 8.00 pagi dengan menaiki bas. Disebabkan saya tinggal di Seberang saya menunggu bas di Plaza Tol Jawi. Kami tiba di Perkarangan Gua Tempurung pada jam 11.15 pagi. Setelah diberi taklimat oleh En. Manan (Pegawai Pengurus Ekspedisi Gua Tempurung) kami pun mula bertolak memasuki Gua Tempurung. Perjalanan kami merentasi Gua Tempurung memakan masa hampir 3 jam lebih.
Semasa berada di dalam Gua Tempurung timbul satu keinsafan dalam diri saya di mana pada pertengahan jalan mengharungi Gua Tempurung seolah-olah saya terasa berada di dalam kubur. Ruang yang amat sempit hingga kami terpaksa menunduk, membengkokkan badan dan yang paling teruk merangkak.
Mujurlah saya membawa lampu suluh jenis HID yang dipinjam daripada bapa saya. Macam-macam perasaan yang menghantui saya, maklumlah saya ni jenis yang takut dengan kegelapan. Tidur pun saya pasang lampu. Antara tempat yang paling menakutkan saya menyebabkan saya rasa cuak ialah semasa kami masuk ke dalam ruang yang amat kecil, cukup-cukup untuk seorang sahaja. Pada ketika itu saya rasa, saya sukar untuk melakukannya. Alhamdulillah segala cabaran dapat saya dan rakan-rakan serta pelajar-pelajar dapat melakukannya.
Betullah apa yang dikatakan oleh mantan PM kita, Tun Dr. Mahathir "Kita Boleh". dengan berfikiran positif kita boleh melakukan apa sahaja, apa yang orang lain boleh melakukannya, kita juga boleh buat.
Pengalaman semasa di Gua Tempurung sangat berguna kepada diri saya dan juga pelajar-pelajar. Diharap program yang dianjurkan oleh saya ini, pelajar-pelajar mendapat manfaat setidak-tidaknya timbul keinsafan dalam kalangan mereka.
Dikesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah dan JPN Pulau Pinang kerana meluluskan permohonan Lawatan Sambil Belajar ke Gua Tempurung. Terima Kasih juga ditujukan kepada Ust. Adham, Cg. Swardi dan Cg. Afnizar yang sudi mengiringi pelajar-pelajar menyertai program ini. Tidak lupa kepada guide, staf-staf pengurusan Gua Tempurung kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan program ini. Akhir sekali ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini kerana telah memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan Ekspedisi Gua Tempurung ini.

Sekian, Wassalam.....

Tuesday, October 14, 2008

PENYAKIT

Dalam dunia ni, macam-macam penyakit yang selalu dihidapi oleh manusia. Antara penyakit yang kebiasaan dihidapi ialah demam, selsema, batuk, pening, sakit perut dan sakit gigi. Penyakit sebegini selalunya tidak lama, dua atau tiga hari sembuhlah. Bagi yang bekerja adalah untungnya, boleh ke klinik dan dapat cuti sakit (mc). Dapatlah berehat di rumah sehari dua, hilanglah rasa pening dan tekanan di tempat kerja.
Ada satu lagi penyakit yang susah nak sembuh dan kalau ke klinik pun tiada ubat atau penawar yang mujarab untuk mengubatinya iaitu penyakit SAKIT HATI. Sakit hati ini selalu terjadi kepada kita. Kadang kala berpunca daripada diri kita sendiri ataupun daripada orang lain yang tak senang dengan kejayaan kita. Sakit hati telah menjadi salah satu masalah yang luas dalam masyarakat. Sekiranya kita mengalami penyakit sakit hati ini yang sebegitu parah sehingga membuatkan kita bertingkahlaku untuk menyendiri. Jauh daripada orang sekeliling. Sebagai contoh kita ambil cuti, tidak kiralah cuti rehat ataupun cuti sakit semata-mata untuk bersendiri ataupun mencari ruang untuk bertenang. Tindakan menyendiri ataupun bertenang ini adalah satu cara yang cukup baik daripada kita memendam perasaan atau melakukan sesuatu yang diluar jangkaan yang mana akhirnya akan menyusahkan diri kita juga.

Bagaimana kita hendak mengenali seseorang yang jiwanya mengalami sindrom SAKIT HATI:
1. Seseorang yang memperlihatkan tindak tanduknya tidak mempedulikan orang lain dalam melakukan sesuatu tindakan.
2.Seseorang yang mudah tersinggung dan mudah terasa dengan gurauan ataupun ajekan orang lain.
3. Kurang berminat dengan aktiviti berkenalan dengan sahabat-sahabat baru.
4. Tidak memiliki sikap berterima kasih atas pertolongan yang dihulurkan oleh orang lain.
5. Tidak ramai kawan ataupun tiada teman rapat.
6. Selalu mengeluarkan percakapan yang sia-sia ataupun mengeluarkan kritikan yang tajam kepada orang lain.
7. Memiliki sifat keras kepala dan selalu menganggap diri sendiri sahaja betul.
8. Umumnya tidak memiliki sifat atau keiginan untuk bercerita atau menolong orang lain.
9. Tidak memiliki emosi yang stabil. Selalu berubah-ubah.
10. Terlalu berkira dalam hal-hal berkaitan bidang tugas atau kerja.

Perbanyakan muhasabah diri dan cuba kenali diri. Perbanyakan amalan menolong orang lain dan percayalah dalam kita menolong orang lain suatu hari nanti tuhan akan menolong kita apabila kita dalam kesusahan.. InsyaAllah..
Sekian, wassalam...

Wednesday, October 8, 2008

PERBEZAAN PENDAPAT

Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing tentang sesuatu perkara ataupun isu yang diketengahkan. Namun akan terdapat perbezaan pendapat, idea dan cadangan dalam membicarakan tentang sesuatu perkara. Perbezaan inilah yang menunjukkan seseorang itu matang serta dewasa dalam menilai sesuatu.
Apabila timbul perbezaan pendapat ini dan diperbincangkan ataupun diperdebatkan kadangkala boleh menimbulkan perbalahan ataupun pergaduhan. Akhirnya boleh juga tidak bertegur sapa. Pada hemat saya setiap perkara ada baik dan buruknya dan baik dan buruk itulah yang dinilai oleh setiap individu daripada sudut dan pandangan yang berbeza. Penilaian daripada sudut yang berbeza inilah yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat. Justeru SETIAP PERKARA BOLEH DIBAHAS tetapi biarlah kita sentiasa bersikap bertolak ansur dengan mendengar terlebih dahulu pendapat orang lain dan mengutarakan pendapat kita dengan disusuli dengan hujuh dan bukti yang menyakinkan supaya orang menerima pendapat kita. Adakalanya pendapat kita betul dan adakala sebaliknya. Janganlah kita menjadi manusia yang bergelar angkuh dan terlalu berkira, kelak yang rugi adalah diri kita sendiri.
Sekian, wassalam..

Sunday, October 5, 2008

KENALAN LAMA

Semalam saya berkesempatan bertemu dengan beberapa kenalan lama saya yang secara kebetulan mereka balik berhari raya di kampung. Rata-rata mereka mempunyai pekerjaan yang cukup baik kerana mereka kesemuanya bergraduat belaka. Seorang itu sebagai eksekutif di Kementerian Kewangan di Putrajaya, seorang lagi sebagai Pegawai PTD di Kuching, Sarawak, yang lagi seorang menceburi bidang perniagaan pembekalan barangan, dan yang lagi seorang mewarisi peninggalan bapanya perniagaan dan perusahaan yang tidak kurang hebatnya. Mereka ini semuanya berkereta yang boleh dikatakan mengalahkan sayalah, maklumlah walaupun bergraduat saya ni cuma seorang guru biasa saja.
Apa yang hendak diperkatakan oleh saya di sini adalah cara pemikiran mereka berbanding dengan saya. Dari segi pengajian kami agak setaraf cuma bezanya saya tinggal di kampung manakala mereka tinggal di bandar-bandar. Dalam semua aspek/topik perbualan kami saya rasa diri saya agak terbelakang dan saya cuma dapat mencelah apabila topik perbincangan berkenaan keluarga sahaja. Misalnya bercerita berkenaan anak-anak dan sedikit sebanyak berkenaan keluarga. lain-lain topik seperti perniagaan, IT, politik, menyambung pengajian dan banyak lagi topik saya tidak dapat mengatasi mereka ataupun dalam erti kata lain "tidak dapat masuk".
Apa-apa pun setakat ini saya tidak ada cita-cita untuk berhijrah ke bandar, cukuplah saya melapangkan masa saya bersama isteri dan anak-anak saya..
wassalam

Friday, October 3, 2008

SELAMAT HARI RAYA

Hari Raya sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua masyarakat Islam di negara kita mahupun di serata dunia. Kemeriahan menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini juga seperti tahun-tahun lalu memang meriah.
Menjelang beberapa hari sebelum tibanya hari raya, tempat saya iaitu di Baling, Kedah, kenderaan semakin banyak dan orang berpusu-pusu di Pekan Baling dan Pekan Baru Batu 42, Pulai. Suasana sebegini kurang menyeronokkan bagi diri saya kerana saya lebih selesa sekiranya keadaan seperti hari-hari biasa. Kenderaan yang banyak menyebabkan kesesakkan lalulintas terutama sehari sebelum menjelang hari raya. Bagi golongan peniaga, tentulah mereka seronok dengan situasi ini kerana kehadiran orang ramai akan melariskan jualan mereka. Mereka mendapat durian runtuh tetapi bagi orang-orang yang macam saya ini rasa tidak berapa selesalah. Bayangkan saya keluar untuk membeli rokok di Pekan Baling yang selalunya mengambil masa tak sampai 5 minit, tetapi pada hari tersebut saya terperangkap dalam kesesakan hampir 2 jam, bahkan nak cari "parking" pun susah. Ada juga pemandu-pemandu luar yang no pendaftarannya lain daripada huruf 'K" park kereta ikut suka hati saja. Ini menyebabkan halangan kepada kenderaan-kenderaan lain untuk bergerak.
Ini pula trend golongan remaja dan anak-anak muda yang digelar "mat rempit". Malam-malam raya beginilah mereka nak tunjuk kehandalan mereka. Di Pekan Baru Batu 42 Pulai, di Depan 7-Eleven inilah tempat mereka merempit. Ramai pulak orang memberi dorongan dengan menjadi penonton tampa bayaran di tepi-tepi jalan menyebabkan mereka lebih bersemangat nak menunjuk-nunjuk. Yang menghairankan saya, yang selalu kemalangan bukannya geng-geng mat rempit tetapi orang-orang tua, bak kata orang baik-baik saja. hairan-hairan ....
Lagi satu main mercun. Tak kira malam siang, tengah malam asyik main mercun saja. Kalau bunga api tak apala. Ini main mercun bunyi punyalah kuat, lepas tu main depan rumah orang pulak tu. Bagi yang telah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, kasihanilah mereka kerana budak kecil dan bayi mudah terkejut dengan bunyi mercun yang kuat.
Harap golongan muda dan remaja fahamilah erti menyambut hari raya aidilfitri...bukan dengan membuat bising dan menggangu orang lain sebaliknya perbanyakkanlah ibadat dan tambahkanlah ilmu pengetahuan..
sekian, wasalam