Wednesday, October 15, 2008

EKSPEDISI GUA TEMPURUNG

11 Oktober 2008, saya dan beberapa orang guru SMK. Teluk Kumbar II, Bayan Lepas Pulau Pinang telah membawa 34 orang pelajar SMK. Teluk Kumbar II dari kelas 2 Gemilang dan 2 Tabah ke Gua Tempurung, Gopeng Perak.
Kami bertolak dari SMK. Tk 2 pada jam 8.00 pagi dengan menaiki bas. Disebabkan saya tinggal di Seberang saya menunggu bas di Plaza Tol Jawi. Kami tiba di Perkarangan Gua Tempurung pada jam 11.15 pagi. Setelah diberi taklimat oleh En. Manan (Pegawai Pengurus Ekspedisi Gua Tempurung) kami pun mula bertolak memasuki Gua Tempurung. Perjalanan kami merentasi Gua Tempurung memakan masa hampir 3 jam lebih.
Semasa berada di dalam Gua Tempurung timbul satu keinsafan dalam diri saya di mana pada pertengahan jalan mengharungi Gua Tempurung seolah-olah saya terasa berada di dalam kubur. Ruang yang amat sempit hingga kami terpaksa menunduk, membengkokkan badan dan yang paling teruk merangkak.
Mujurlah saya membawa lampu suluh jenis HID yang dipinjam daripada bapa saya. Macam-macam perasaan yang menghantui saya, maklumlah saya ni jenis yang takut dengan kegelapan. Tidur pun saya pasang lampu. Antara tempat yang paling menakutkan saya menyebabkan saya rasa cuak ialah semasa kami masuk ke dalam ruang yang amat kecil, cukup-cukup untuk seorang sahaja. Pada ketika itu saya rasa, saya sukar untuk melakukannya. Alhamdulillah segala cabaran dapat saya dan rakan-rakan serta pelajar-pelajar dapat melakukannya.
Betullah apa yang dikatakan oleh mantan PM kita, Tun Dr. Mahathir "Kita Boleh". dengan berfikiran positif kita boleh melakukan apa sahaja, apa yang orang lain boleh melakukannya, kita juga boleh buat.
Pengalaman semasa di Gua Tempurung sangat berguna kepada diri saya dan juga pelajar-pelajar. Diharap program yang dianjurkan oleh saya ini, pelajar-pelajar mendapat manfaat setidak-tidaknya timbul keinsafan dalam kalangan mereka.
Dikesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah dan JPN Pulau Pinang kerana meluluskan permohonan Lawatan Sambil Belajar ke Gua Tempurung. Terima Kasih juga ditujukan kepada Ust. Adham, Cg. Swardi dan Cg. Afnizar yang sudi mengiringi pelajar-pelajar menyertai program ini. Tidak lupa kepada guide, staf-staf pengurusan Gua Tempurung kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan program ini. Akhir sekali ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini kerana telah memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan Ekspedisi Gua Tempurung ini.

Sekian, Wassalam.....

No comments: