Friday, October 31, 2008

PROGRAM / AKTIVITI SELEPAS PMR

Saya sebagai Guru Kaunseling sekolah telah diberi tanggungjawab oleh pihak sekolah untuk menyelaras aktiviti/program pelajar-pelajar Tingkatan 3 setelah selesai peperiksaan PMR. Dalam kolum ini ingin saya memberi pendapat sedikit berkenaan dengan program /aktiviti selepas PMR ini.
1. Selepas habis peperiksaan PMR pelajar Tingkatan 3 masih ada 4 minggu / sebulan untuk bercuti akhir tahun. Masa yang terlalu lama untuk menjalankan dan merangka sesuatu aktiviti.
2. Guru-guru pula menganggap setelah habis peperiksaan, habislah tanggungjawab mereka kerana telah selesai sukatan pelajaran masing-masing dan pelajar telahpun menduduki peperiksaan. Guru-guru mengambil kesimpulan mudah dengan mengatakan mereka tidak tahu apa lagi yang hendak diajar. Tugas mereka hanya mengajar. Tanggungjawab seterusnya diserahkan kepada Guru Kaunseling untuk menguruskan aktiviti pelajar.
3. Bagi saya tanggungjawab ini amat berat kerana bagi sekolah-sekolah yang pelajar-pelajarnya pintar tidaklah sangat mendatangkan masalah kerana senang untuk menguruskan mereka. Bagaimana pula bagi pelajar-pelajar sekolah harian biasa yang bermasalah displin. Kesukaran untuk mengawal mereka ditambahkan pula untuk mengendalikan program dalam kelompok yang besar. Kadang-kadang boleh hilang nilai-nilai kesabaran dan lebih teruk lagi mengalami stress.
Justeru saya menyarankan supaya pihak-pihak yang terlibat khususnya di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya menyediakan kurikulum ataupun modul yang selengkapnya bagi menyeragamkan program / aktiviti bagi pelajar-pelajar yang telah selesai peperiksaan PMR ini supaya lebih tersusun seperti mana kurikulum yang disediakan kepada guru-guru matapelajaran untuk mengajar.

sekian, wassalam

No comments: